Islamic Widget

Isnin, 13 September 2010

BINGKISAN : Artikel untuk muslimah

Asalamualaikum wbt..
Selamat bertemu kembali di alam maya..
Ana ingin berkongsi artikel yang menarik kali ini.

Mari bersama renungkan dan fahami.


Muslimah Mukminah Yang Sejati

Seringkali kita mendengarkan tentang kisah-kisah srikandi Islam yang gagah berani seperti Siti Fatimah, Khadijah r.a., Khaulah Al-Azwar, Nusaibah serta ramai lagi muslimah-muslimah tauladan. Ramai yang mengatakan bahawa tidak mungkin kita akan mencapai tahap srikandi-srikandi mulia tersebut. Namun sedarkah kita, penilaian terhadap perjuangan seseorang itu hanyalah Allah s.w.t. yang berkuasa menentukan.

Keikhlasan dan kesediaan kita untuk menyerahkan diri sepenuhnya pada jalan perjuangan Islam ini adalah tunjang utama untuk menjadi mujahidah sejati. Namun syarat yang paling utama ialah keutuhan aqidah yang akan mendorong kita untuk thabat dalam membantu agama Allah s.w.t.

Ingatlah, dahulu kaum wanita menjadi bahan hinaan kaum-kaum jahiliyah terdahulu bahkan dianggap lebih hina dari binatang. Namun, cahaya Islam merubah segalanya. Kaum wanita diangkat martabatnya dan diberi hak yang sewajarnya. Islam memuliakan wanita sehingga terdapat surah An-Nisa’ yang bermakna ‘wanita-wanita’ yang banyak menyentuh tentang hal ehwal wanita. Di sini, saya ingin menyentuh beberapa skop muslimah sebagai pejuang agama secara ringkas.

Berjuang Sebagai Puteri

Jika menyentuh tentang perkara ini, pasti kita tidak lari dari memikirkan tentang puteri-puteri Rasulullah seperti Zainab, Ruqaiyyah, Ummu Kaltsum dan Fatimah. Namun, sejarah lebih ‘menghighlightkan’ Fatimah dari segi seorang anak kerana rapatnya beliau dengan Rasulullah. Fatimah lah yang membersihkan belakang Rasulullah apabila diletakkan najis oleh kaum musyrikin bahkan beliaulah yang memangku baginda Rasul di saat menjelang kewafatan baginda. Bagaimana pula dengan kita?

Secara umumnya, wajib ke atas anak itu membantu kedua ibu-bapanya serta berusaha tidak membebankan mereka dari segala segi. Jika sahabat-sahabat memiliki bapa atau ibu atau kedua-duanya yang beriltizam sepenuhnya dengan jamaah, maka hendaklah memahami mereka terutama pada saat-saat kesulitan seperti kesuntukan waktu atau harta. Bahkan, perlu bersiap-sedia menghadapi kemungkinan yang lebih dari itu kerana jalan perjuangan itu penuh mehnah dan tribulasi.

Bagi mereka yang memiliki ibu bapa yang neutral atau pun menentang, hendaklah berusaha memahamkan mereka tentang Islam secara beransur-ansur. Jangan mengharapkan mereka akan memahami kita jika tidak menjaga adab dan tanggungjawab sebagai anak sebagaimana sepatutnya. Tidak perlulah diceritakan tentang penglibatan kita dalam jamaah kerana mereka pastinya akan bimbang lantas melarang kita menyertai perjuangan ini lantaran ketidakfahaman. Tetapi cukuplah kita berusaha menjadi anak yang soleh dan tidak menyakitkan hati mereka walaupun pemikiran dan pemahaman adalah bertentangan. Ingat, sehebat mana seorang anak itu, redha ibu bapa lah yang akan memandu kita kepada redha Allah.

Berjuang Sebagai Isteri

Walaupun kalian belum berkahwin, tetapi hendaklah mengambil kisah akan hal ini kerana ia adalah masa depan dunia dan akhirat. Pertamanya amatlah dituntut kepada para mujahidah memilih para mujahid yang beriltizam dengan perjuangan Islam. Walaupun kita tidak tahu apa yang akan terjadi pada masa hadapan, namun ciri-ciri itu sudah dapat dilihat pada usia seorang pemuda. Perkara ini penting bagi melahirkan baitul muslim yang akan melahirkan masyarakat muslim yang akan mendokong ke arah tertegaknya Islam di bumi ini.

Hendaklah kalian menjadi sayap kiri perjuangan suami dan memahami bahawa perjuangan ini menuntut pengorbanan dan pastinya tidak dimanjai dengan harta dunia. Bersiap-sedialah untuk meletakkan Islam sebagai kepentingan dan agenda utama hidup suami kalian bahkan hidup diri kalian sendiri. Ingatlah akan pengorbanan Saidatina Khadijah dalam membantu perjuangan Rasulullah dan menjadi peneman suka duka baginda sehingga tiada gantinya lagi.

Selain itu, sudah menjadi tanggungjawab kalian untuk memberi motivasi kepada para isteri mujahidin yang lain supaya mereka tidak tergugat dengan dugaan dan tidak goyah dengan harta dunia.

Berjuang Sebagi Ibu

Ini merupakan ‘stage’ terpenting kerana diibaratkan tangan ibu itu bisa menggoncang dunia. Dari rahim yang lembut itu, lahir Rasulullah s.a.w. yang tercinta. Dari rahim yang lembut itu lahir pejuang-pejuang Islam seperti Muhammad Al-Fateh, Salahuddin Al-Ayyubi dan Imam Hasan Al-Banna. Juga dari rahim yang lembut tetapi utuh itu lahir para ulama’ dan tokoh-tokoh agama yang ulung seperti Imam Malik, Imam As-Syafe’i dan Imam Bukhari.

Jika menyusur sirah para nabi, kebanyakannya ibu mereka adalah terdiri daripada wanita yang solehah seperti Maryam ibu Nabi Isa, Ibu Nabi Musa, Siti Hajar ibu nabi Ismail dan ibu nabi Sulaiman. Begitu juga dengan ibu para ulama’ seperti ibu Imam Bukhari yang tidak jemu-jemu mendoakan dan menjaga anaknya yang buta sehingga menjadi celik semula seterusnya menjadi ulama’ Hadith yang ulung.

Maka di sini, dapat diambil contoh tauladan oleh para mujahidah dalam melahirkan dan mendidik generasi yang akan menjadi pewaris ulama’ dan jundullah. Sebagai ibu, hendaklah berusaha membentuk anak-anak menjadi generasi al-Quran serta menjadikan sunnah Rasul ikutan hidup mereka.

Berjuang Sebagai Ahli Harakah Islamiyah

Mutakhir ini, para muslimah telah diberi peranan penting dalam gerakan Islam sehingga ditubuhkan tanzim khas untuk muslimat seperti Dewan Muslimat dan Unit Helwi. Memandangkan AM adalah sebuah jamaah yang masih kecil, maka unit muslimat ini bukanlah sebuah unit yang dhoruriyat mahupun hajiyat untuk ditubuhkan bahkan kita tidak mempunyai kapasiti yang secukupnya untuk itu.

Muslimin dan muslimat bekerja bersama-sama saling bantu membantu dalam batas syara’ untuk gerak kerja jamaah. Bahkan, terdapat jamaah yang majoritinya adalah muslimat dan yang menggiatkannya adalah kaum hawa ini. Walaupun muslimat tidak mempunyai taklifan syara’ untuk bergiat dalam harakah Islamiyyah, namun memandangkan senario semasa kini di mana kaum Hawa lebih ramai dari kaum Adam memerlukan muslimat untuk turun bersama para muslimin.

Muslimat pada zaman Rasulullah turut turun ke medan perang untuk membantu para muslimin dari belakang seperti mengubati para tentera yang cedera. Malah terdapat para muslimat yang turut masuk ke medan tempur seperti Nusaibah dan Khaulah Al-Azwar.

Bahkan, dengan keterlibatan muslimat dalam gerak kerja Islam dapat menangkis tuduhan-tuduhan yang mengatakan Islam itu mengongkong kaum wanita. Ia juga dapat membuka mata-mata mereka dengan kehebatan wanita muslim dalam perjuangan Islam.

Ingatlah sahabat-sahabat sekalian, bukanlah mudah untuk menjadi mujahidah sejati. Pelbagai rintangan yang perlu dilalui untuk bergelar mujahidah yang diiktiraf Allah. Jika Barat bangga dengan Joan of Ark, kita patut lebih berbangga lagi dengan mujahidah-mujahidah Islam seperti Sumaiyah dan Zainab Al-Ghazali.

Kepada yang masih solo, jangan dirisau akan jodohmu kerana mujahid yang sejati itu bukanlah tertarik pada rupa tetapi pada perjuanganmu fisabilillah.Rupa paras bukanlah ukuran nilai pada seorang muslimah tetapi iman dan keutuhan jiwa yang berada pada dirinya. Pernah terjadi di Iran di mana wanita-wanita Iran memilih kaum-kaum lelaki yang cedera dalam pertempuran sebagai suami. Malah kaum lelaki terdiri daripada orang-orang yang terpotong kaki dan tangannya akibat perang melawan musuh Allah. Kaum wanita itu mengiginkan lelaki yang bersih jiwanya dan telah teruji bahawa lelaki itu telah siap menyerahkan jiwa raganya untuk Allah yang mereka cintai.

Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang diiktiraf Allah sebagai pejuang agamaNya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

SEUNTAI MADAH

Ya Allah..

bangunkanlah kesedaran di hati hamba yang mentaatimu..

Jangan kau jadikan ungkapanku hari ini, hanya sekadar ungkapan..

Pilihlah diriku untuk berjuang bersama pejuangMu..

Jadikanlah Impianku untuk mati syahid menjadi kenyataan..

Lindungilah pemikiranku..daripada akal yang dikuasai nafsu..

Biarlah bicaraku..adalah ilham daripada-Mu..

Bantulah hamba yang lemah ini..agar ada sumbanganku untuk Islam tercinta..

Ya Rabb, padamu ku letakkan harapan..

Tutupilah hatiku dari cinta dunia..

Lindungi diriku dari tipu daya dan fitnah dunia serta nafsu amarah (halobah)

Kuatkanlah aku menempuh jalanMu yang penuh liku..

Kerana MISI hidupku ialah mencari REDHAMU..

DOA RABITAH


"Ya ALLAH, Engkau Mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihiMu,

Bertemu untuk mematuhi perintahMu,

Bersatu memikul beban dakwahMu.

Hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu.

Maka eratkanlah Ya ALLAH akan ikatannya,

Kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini..

Tunjukkanlah kepada hati-hati ini akan jalanMu yang sebenar...

Penuhkanlah piala hati ini..

Dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepadaMU...

Hidup suburkanlah hati-hati ini dengan makrifat, pengetahuan sebenar tentangMu...

Jika Engkau mentakdirkan mati,

Maka matikanlah pemilik hati-hati ini

Sebagai para syuhada' dalam perjuangan agamaMu

Engkaulah sebaik-baik sandaran

Dan sebaik-baik penolong..

Ya Allah Perkenankanlah Permintaan ini..

Amin Ya Rabbal 'Alamiiin...


Text-Ads

MELODI JIWA


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com