Alhamdulillah dapat juga saya menjenguk dan memasukan entri baru dalam blog ini. Saya hanya memohon kekuatan dari Allah berkat doa saudara-saudara untuk mampu melaksanakan ibadah puasa ini semakin baik dari hari ke hari.
Seperti bulan-bulan puasa sebelumnya, ibadah yang saya jalani ini penuh mujahadah dengan segala ujian yang mendatang. Selain daripada mengawal mazmumah dan fikiran, saya juga berdepan dengan soal kesihatan. Tetapi alhamdulillah… setakat ini masih terus melangkah walaupun sedikit payah.
Namun saya yakin, fasa akhir Ramadan yang sedang kita hadapi ini akan memberi satu suntikan baru untuk lebih gagah. Saya doakan semua pembaca diberi kekuatan lahiriah dan jiwa untuk membina taqwa dengan puasa ini. Mudah-mudahan kita berjaya membebas kongkongan kehendak jasad tahap rendah untuk terbang ke daerah tinggi tempat roh dan jiwa yang suci bersemadi.
Buat sahabat-sahabat terimalah bingkisan ini seadanya:
MUHASABAH RAMADAN
Ramadhan datang dan pergi. Apakah melodi jiwa dan kembara hidup kita terus dinaungi oleh teduh keberkatannya? Tahun demi tahun, apakah kita semakin menghampiri takwa yang menjadi tujuannya? Atau ia terus memecut, berlalu… meninggalkan kita yang masih bertatih mengejar kemuliaannya. Manalah tahu nyawa terhenti dan Ramadhan terus tidak sempat kita cecah walau secebis rahmat, keberkatan, maghfirah, apatah lagi Jannah yang menjadi tagihannya.
Diri ini memulakan langkah perubahan.
Fasa pertama dan fasa kedua Ramadhan..ana masih di sibukkan dengan urusan sebagai seorang pelajar.
Malah kurang melakukan solat-solat sunat. Semua berubah, setelah ana mengikuti Qiam yang di anjurkan oleh pihak kolej dan masjid.
Hati ana berbicara, Ramadhan dah nak sampai kepenghujungnya. Ajal pun akan tiba bila-bila masa.
Ana akur, pada kelemahan diri. Ana tekad untuk melakukan perubahan sedaya yang mampu.
Ana berfikir, Ramadhan ini adakah saya telah mencapai tujuan- Takwa?
Minda dan Hati ana berbicara sesama mereka.
“Amal biar sedikit tapi berkekalan. Perubahan biar sederhana, tapi berkesan.”
“Orang bertakwa… mengawal marah.”
Bukan mudah mengubah hal-hal dalaman. Kalau hal-hal luaran pun payah untuk diubah.
Ah, jauhnya Ramadhan daripada kita bila diukur pada hasilnya. Saya masih gagal mengawal marah pada saat-saat yang kritikal. Padahnya, sewaktu itu terasa kita patut ‘melepaskan’ marah, sedangkan orang bertaqwa sentiasa mengawalnya. Pemaaf? Ya Allah! belum lagi. Kadang-kadang hanya kata-kata memberi maaf, tetapi rasa di dalam dada masih menyimpannya.
Dulu di kampung, Ramadhan disambut penuh meriah. Ketika zaman kanak-kanak. Berbuka di surau bersama teman dan kemudian menunggu moreh sambil bermain kejar-kejar. Ketika itu fikiran kanak-kanak kita hanya dapat menjangkau – puasa tak boleh makan-minum, buka, bersahur, ada solat terawih, baca Quran dan kemudian hari raya! Alangkah indahnya. Tapi tahun demi tahun berlalu, kita digamit usia, pengertian makin mendalam… Ramadan bukan lagi tradisi yang datang pergi tanpa isi. Kita diterjah pertanyaan, sampai bila rutin itu perlu berlalu tanpa berkesan pada jiwa?
Dulu, ketika Ramadhan datang, badan masih bertenaga, namun ilmu hanya setakat di permukaan… puasa hanya pada sah dan batal. Kini Ramadan datang, ilmu mula menyelam, namun tenaga semakin kurang. Kesihatan mula terjejas. Ingin bertindak, tapi terbatas. Ya, Allah… bagaimana Ramadhan ku kali ini?
Ana melihat kawan-kawan, muda-mudi ketawa dengan gurau sendanya. Mereka belum mengerti perlumbaan usia dan amal. Di dalam fikiran, ana menangisi Ramadhan yang hilang… Sambil menunggu Ramadhan yang akan datang. Sempatkah?
Ramadan ini akan pergi
(Apakah roh Ramadan ini
Nanti Syawal bertamu jua
(Apakah kita berjaya?
Ramadan dan Syawal akan pergi
(Akan tiba saatnya
::Syirah::(ingin menjadi mujahidah yang solehah..insyaAllah)
~hidup mulia tau mati syahid~

Tiada ulasan:
Catat Ulasan