
Bismillah..
InsyaAllah..sedikit perkongsian dan nasihat.
Ana ada 4 kertas soalan je lagi, ana menggunakan sedikit masa yang ada ....
Untuk sahabat dan diri yang juga lemah ini.
Mari kita sama-sama muhasabah diri..di musim imtihan ini.
Tajuk tazkirah.. :_)
MUSIM IMTIHAN(PEPERIKSAAN)
Exam..
Kini, kita mendapati apabila musim peperiksaan tiba, mahasiswa seolah-olah beruzlah dan mengasingkan diri dengan mengulang kaji dan menghafal fakta-fakta, teori-teori dan nota-nota penting bagi menghadapi peperiksaan.
Pada waktu seperti ini juga, barulah kita dapat melihat seolah-olah mahasiswa begitu komited dengan tradisi keilmuan. Mereka juga seolah-olah begitu ikhlas mengamalkan budaya ilmu dalam kehidupan mereka. Hingga sesiapa yang melihat suasana waktu itu merasa kagum. Dikatakan sebegini kerana kita kagum dengan keprihatinan mereka dengan ilmu yang dipelajari, fakta yang dikaji, sejarah yang diingati. Pada fasa ini juga, setiap malam mereka akan berdepan dengan berlapis-lapis buku ilmiah, kitab-kitab muktabar yang berjilid-jilid, nota-nota pelbagai corak dan peta minda bersistematik. Kelihatan mereka ini begitu ikhlas dengan ilmu, amanah dengan tanggungjawab terhadap pengalaman ilmu dan rajin mengkaji mencari hikmah di sebalik ilmu Allah yang luas.
Walhalnya, perkara sebenar atau hakikatnya adalah di sebaliknya.sama ada kita mengakui atau tidak, ilmu yang kita atau para mahasiswa pada masa kini hanyalah untuk peperiksaan sahaja. Fakta-fakta dan teori-teori yang diingati hanyalah sekadar untuk mengisi ruangan kertas jawapan. Hadis-hadis dan ayat-ayat suci al-Quran digunakan sekadar untuk tempoh tidak lebih dari 2 atau 3 jam peperiksaan. Huraian berdasarkan pendapat ulama dan ilmuwan hanya sekadar memenuhi syarat mendapat segulung ijazah sarjana muda, sarjana tinggi dan PhD.
Belajar untuk exam bagai tradisi yang diamalkan oleh mahasiswa sekarang. Bagaikan amalan turun temurun. Jika semua mahasiswa mengamalkan perbuatan ini, maka tiada gunanya ilmu itu kepada mahasiswa. Amalan ini tidak memberi apa-apa faedah pun kepada kita (mahasiswa).
Seperti kita ketahui,ilmu itu adalah cahaya. Dan dengan ilmulah membezakan orang yang tahu dengan orang yang jahil(tidak tahu). Dalam Islam ilmu adalah sesuatu yang sangat mulia dan mempunyai darjat yang tinggi. Hinggakan umat Islam di wajibkan menimba ilmu.
Ilmu umpama cahaya sebagai simbolik kepada nilai yang berharga. Mahasiswa yang bersikap sebegini tidak layak menerima cahaya tersebut.
Di mana kita, jika kita bandingkan diri kita dengan ulama dulu yang sebelum meninggal, masih sempat mengarahkan pembantunya memberi kertas untuk ditulis idea yang muncul ketika itu? Bagaimana pula apabila kita cuba bandingkan dengan ulama yang mana ketika beliau meninggal dunia, buku masih di atas badannya? Perbandingan ini, diharapkan juga dapat mencabar rasa ego kita yang selama ini berasa hebat dengan ilmu yang dimiliki. Sedangkan ilmu yang ada hanya dari bilik kuliah sahaja tanpa ada inisiatif untuk mendengar kuliah di masjid dan sebagainya. Malahan, ilmu itu akan hilang setelah menjawab kertas peperiksaan.
Mengajak teman-teman mahasiswa agar muhasabah atau menilai kembali tujuan ilmu dipelajari, objektif kita berada di menara gading dan matlamat kita setelah mencari ilmu. Di sinilah, tempat di mana lahirnya pelbagai sarjana negara, ilmuwan tempatan, ulama kontemporari dan golongan profesional. Namun, adakah kita layak diberi status ini?
"Status ini sebenarnya hanya layak bagi mereka yang menganggap peperiksaan bukanlah ujian akhir yang mana apa yang dihafal dan difahami sekali gus hilang selepas peperiksaan. Sebaliknya, selepas peperiksaan, ilmu tersebut masih subur di hati mahasiswa. Mereka menganggap peperiksaan sebagai batu loncatan untuk mereka meningkatkan lagi tingkat keilmuan mereka, sebagai motivasi pemberi semangat untuk menambahkan ilmu dan sebagai pemberi cabaran sama ada mahasiswa mampu atau tidak menghadapi peperiksaan ini"
Mereka juga tidak beranggapan peperiksaan sebagai matlamat akhir dalam pencarian ilmu. Bagi mereka, ilmu yang dipelajari adalah sebagai tanda kecintaan mereka terhadap Allah Taala dan Rasulnya SAW. Ilmu yang dipelajari tidak bertujuan untuk mencari pekerjaan, rumah dan kereta besar semata-mata. Tidak sekadar merangkul segulung ijazah, tidak juga memperalatkannya untuk dipandang mulia atau untuk mendapat sanjungan dan pujian.
Dalam masa yang sama, kita juga menggalakkan mahasiswa untuk berpersatuan. Bidang akademik diakui bukanlah satu-satunya elemen keilmuan. Berpersatuan sebenarnya antara lain, mengajar mahasiswa bagaimana menghadapi cabaran hidup, mengharungi kerenah masyarakat, melatih diri berdepan orang ramai dan mencabar diri bagaimana menyeru warga kampus khususnya menuju kepada keindahan dan kedamaian nilai keagamaan.
Ingatlah, seorang sarjana, Seyyed Hossein Nasr pernah meluahkan kebimbangan beliau, dewan kuliah di institusi pendidikan barangkali akan tinggal nama sahaja tanpa memiliki semangat dan visi keintelektualan. Dan pelajar-pelajar yang mendapat gulungan ijazah atau apa kelulusan sebagai orang yang mati. Justeru itu, marilah kita sama-sama membetulkan kembali pendirian kita terhadap peperiksaan, keintelektualan, kesarjanaan dan pencarian ilmu. Semoga berjaya dalam peperiksaan.
Sekian, wassalam.
MAA TAUFIQ WANNAJAH.
::'UD' UNI ASTAJIB LAKUM ::
Tiada ulasan:
Catat Ulasan