
Kerajaan kemungkinan mempertimbangkan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussein, berkata jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.
“Ada beberapa perkara penting untuk dikaji sama ada perkara ini (mengeluarkan lesen membenarkan pertaruhan) baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak (jumlah wang daripada pertaruhan haram).
“Kerajaan sedang mengkaji perkara ini dan akan memutuskannya jika mahu membenarkan pertaruhan kerana kejohanan Piala Dunia ini semakin hampir,”
katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Awang Adek berkata, jika lesen itu dikeluarkan, kerajaan dapat mengawal aktiviti perjudian, selain hasilnya boleh digunakan terutama untuk pembangunan bidang sukan di negara ini.Beliau mengakui sudah ada pihak yang membuat permohonan untuk mendapatkan lesen itu tetapi beliau enggan mendedahkan lebih lanjut maklumat itu sehingga kerajaan membuat keputusan mengenainya.
Terdahulu, isu itu dibangkitkan pada sesi soal jawab oleh Senator Ng Fook Heng yang mahukan penjelasan kemungkinan kerajaan mengeluarkan lesen pertaruhan kejohanan Piala Dunia untuk mengelakkan perjudian haram.
Awang Adek berkata, kerajaan memandang serius aktiviti perjudian tanpa lesen yang membabitkan pertaruhan nombor ramalan, permainan mesin slot dan pertaruhan membabitkan bookie bagi permainan bola sepak dan permainan lain.
“Aktiviti perjudian tanpa lesen adalah aktiviti yang boleh mewujudkan kegiatan sampingan lain seperti peminjam wang tanpa lesen, jenayah terancang, penyeludupan dan pengubahan wang haram.
“Oleh itu sebagai sebuah kerajaan yang prihatin terhadap rakyatnya, kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya dan sebarang langkah perlu dilakukan secara berkesan bagi menangani masalah bookie tanpa lesen termasuk membenarkan pertaruhan bookie bola sepak dilaksanakan melalui perlesenan sah,” katanya.
Sumber : Malaysiakini.com
Ulasan
Kecoh seketika isu judi. Ada menteri yang pernah disebut-sebut sebagai calon MB di sebuah negeri ketika PRU ke-12 yang lalu telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa kerajaan sedang menimbang untuk mengeluarkan lesen pertaruhan (baca: lesen judi) sukan untuk kejohanan bola sepak Piala Dunia awal Jun ini. Katanya sudah ada syarikat yang mengemukakan permohonan itu.
Merujuk laman detikdaily.net, alasan yang diberikan ada dua. Pertama, untuk mengelakkan judi haram. Kedua, kerajaan akan mendapat hasil yang boleh digunakan termasuk untuk pembangunan sukan di negara ini.
Kenyataan yang ini dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Dr Awang Adek Hussein. Hairan dengan kenyataan seperti ini. Di dalam satu SIRI LAWATAN (baca : kempen) Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran ke kampus Darul Quran yang terletak di Hulu Selangor, beliau telah menyatakan kepada sidang pendengar bahawasanya barisan kabinet yang diterajui oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak adalah barisan kabinet contoh yang berteraskan modal insan. Persoalannya, bagaimana kabinet contoh ini mampu bersikap biadab dengan hukum Allah s.w.t? Para menteri bukanlah ma’sum (baca : terpelihara daripada dosa) sehingga boleh mengubah apa yang telah digariskan oleh Allah Ta’ala di dalam kitab-Nya.
Alasan yang diberikan oleh Awang Adek bahawa “judi tetap akan berlaku jika dikawal” tidak boleh diterima langsung malah ia seolah-olah cuba menolak hukum Allah secara diam. Perkara haram tetap haram . Jika alasan tersebut digunakan maka kerajaan juga perlu mansuhkan Akta Dadah kerana realitinya “dadah tetap dijual beli walaupun dikawal dengan undang-undang”.
Jika kita rujuk al-Quran..telah dijelaskan tentang haramnya judi..
Allah S.W.T berfirman dalam surah Al-Maidah:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
90. “Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya minuman keras, berjudi (berkorban untuk) berhala, dan mengubah nasib dengan anak panah, adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah (perbuatan-perbuatan) itu agar kamu beruntung.”
91. “Dengan minuman keras dan judi itu, syaitan hanyalah bermaksud menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu, dan menghalangi kamu dari mengingati Allah dan melaksanakan solat. Maka tidakkah kamu mahu berhenti?”
92. “Dan taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul serta berhati-hatilah. Jika kamu berpaling, maka ketahuilah bahawa kewajiban Rasul Kami, hanyalah menyampaikan amanat dengan jelas.”
Apa yang ingin diperhatikan secara serius, pada ayat 92, Allah telah menyatakan bahawasanya tugas rasul itu hanyalah penyampai amanat secara jelas daripada Allah. Di dalam sebuah hadith, Rasulullah s.a.w telah menyatakan bahawasanya ulama’ itu pewaris anbiya’. Apa yang perlu kita perhatikan secara serius, Al-Quran dan Hadith telah pun menyatakan secara jelas hukum serta peranan yang perlu dimainkan. Akibat yang bakal diperoleh sekiranya kita tidak mengambil berat apa yang telah disebut oleh Allah dan Rasul-Nya, maka azab Allah akan menimpa manusia. Bukan sahaja mereka yang memberikan lesen, bahkan rakyat yang tidak setuju juga turut terkena tempiasnya. Semoga kita dijauhkan Allah daripada azab.
Saya agak tertarik dengan isu-isu yang dimainkan oleh Kerajaan Umno-BN ini ketika proses kempen PRK Hulu Selangor berlangsung. Mereka mengatakan bahawa calon PKR mempunyai seekor kuda lumba. Apa yang dapat dikaitkan dengan kuda lumba sekiranya bukan judi? Namun, apa yang berlaku sekarang adalah seperti di dalam ibarat, meludah ke langit jatuh ke muka sendiri! Orang yang berjudi tetap berdosa, tetapi yang member lesen lebih berdosa. Orang yang minum arak itu berdosa, tetapi yang member lesen itu lebih berdosa. Di manakah kabinet contoh yang diperkatakan TPM dalam siri lawatan beliau itu?
Melihat kepada alasan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Kewangan itu jelas menunjukkan tidak matangnya kerajaan dalam menangani soal jenayah. Judi wajib dibanteras, bukan diberi lesen untuk dihalalkan. Judi wajib disingkirkan dari muka bumi, bukan diberi tempat. Tidak ada satu agama pun yang membenarkan perjudian kerana ia jelas memberi kerosakan yang dahsyat kepada masyarakat. Melalui perjudian, bidang sukan di negara ini akan terus berada di tahap yang paling rendah. Ini kerana sumber yang diperoleh untuk membangunkan sukan di negara ini bukan melalui cara yang halal.
Dalam hal ini, saharusnya kita menyatakan bantahan. Terutama mereka yang bergelar ulama’dan mengakui dirinya muslim. Bukan mendiamkan diri dan sibuk dengan urusan duniawi. Jangan menyerahkan tugas ini sepenuhnya kepada ulama atau parti yang boleh bersuara. tetapi kita sebagai rakyat ada hak untuk melindung negara kita daripada kemungkaran ini. Jangan berfikir semua ini sebagai isu politik semata-mata. Apa yang harus dilihat, kemungkaran yang amat besar dan wajib ditentang sehingga ke akar umbi.
Justeru itu, saya berpendapat bahawasanya kita sebagai rakyat Malaysia mesti menolak mereka yang menganjurkan maksiat yang jelas bertentangan dengan syara’. Meluluskan perkara yang haram itu adalah haram, menghalalkan apa yang haram itu adalah haram, menyokong mereka yang menghalalkan apa yang haram itu juga adalah haram. Kerana menghalalkan yang haram, hukumnya berdosa besar.
Muslimin dan muslimat..semua yang mengakui dirinya muslim..bangkitlah bersuara.
Akhir kalam, bertaubatlah selagi ada kesempatan. Bertaubatlah sebelum terlambat. Pesan Nabi, Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya, bahkan kitalah yang seringkali menzalimi diri sendiri.
::NurSyairah::
Tiada ulasan:
Catat Ulasan