Astro B.yond sasar 500,000 pelanggan

PADA Julai 2006, menyaksikan stesen berbayar pertama negara, Astro memperkenalkan Astro Max iaitu dekoder yang direka khas dengan fungsi rakaman dalaman.
Apa yang membanggakan, Astro Max mencipta sejarah tersendiri apabila ia merupakan perakam video peribadi pertama di Malaysia.
Ternyata, Astro Max berjaya memikat hati 26,000 orang pelanggan sehinggalah perkhidmatannya ditamatkan pada tahun 2008.
Demi memastikan pelanggan akan sentiasa terus bersama mereka, Astro mengorak setapak langkah lagi dalam memperkenalkan inovasi terbaru khusus untuk pelanggan setia mereka.
Diberi nama Astro B.yond Perakam Video Peribadi atau singkatannya, B.yond PVR, penonton dan pelanggan setia Astro kini mampu menikmati kemudahan serupa yang pernah diperkenalkan menerusi Astro Max.
B.yond PVR merupakan kelangsungan daripada kejayaan Astro B.yond yang kali pertama diperkenalkan pada Disember tahun lalu dengan teknologi definisi tinggi (HD) untuk tontonan maksimum.
Penonton dan pelanggan Astro dapat merakamkan kesemua rancangan yang mereka gemari termasuk rancangan yang disiarkan secara langsung dan kemudian menontonnya pada bila-bila masa.
Ia termasuklah lima saluran yang sudah diperkenalkan sebelum ini iaitu HBO HD (saluran 431), National Geographic Channel HD (saluran 573), History Channel HD (saluran 575), Astro SuperSport HD (saluran 831) dan ESPN Star Sports HD (saluran 832).
Tidak cukup dengan itu, serentak dengan pelancaran B.yond PVR, tiga lagi saluran baru dalam HD turut diperkenalkan iaitu Astro Zhi Zun HD (saluran 310), AXN HD (saluran 721) dan FX HD (saluran 726).
Kerana itu, Astro cukup optimis dengan sambutan yang bakal diberikan oleh pelanggan setia mereka terhadap perkhidmatan terbaru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan berkata pihaknya mensasarkan seramai 500,000 orang akan melanggan mahupun menukar kepada perkhidmatan Astro B.yond khususnya.
Daripada angka itu, pihaknya menjangkakan perkhidmatan B.yond PVR akan dilanggan seramai 100,000 orang sehingga akhir tahun kewangan pada 31 Januari 2011.
Setakat ini, beliau berbangga dengan pencapaian yang dikecapi oleh Astro. B.yond selepas dilancarkan enam bulan lalu.
“Pelancaran Astro B.yond tahun lalu telah membuktikan pencapaian terbaik dalam kelas pembaharuan kandungan, teknologi dan pengalaman yang diraih oleh pelanggan.
“Menerusi Astro B.yond juga, kami telah membawakan satu perubahan dalam penontonan televisyen di negara ini dengan kualiti yang cukup tinggi dan memuaskan hati.
“Kerana itu, kami percaya dengan kemunculan B.yond PVR ini pelanggan dan penonton tidak akan rasa ketinggalan kerana semuanya dikawal oleh mereka,” ujarnya yang enggan mendedahkan angka sebenar pelanggan Astro B.yond setakat ini.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran B.yond PVR di MidValley, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan dan Naib Presiden Teknologi Media Baru, Shahrul Iman.
Tambah Rohana lagi, beliau cukup yakin dengan perkhidmatan terbaru ini selepas kejayaan yang dikecapi menerusi perlawanan Piala Thomas dan Piala Uber yang dapat ditonton di Astro B.yond baru-baru ini.
Astro yang juga penyiar rasmi Piala Dunia 2010 yang bermula sejak 11 Jun lalu turut menayangkan 64 perlawanan secara langsung dan semuanya itu dapat dinikmati oleh semua pelanggan Astro.
Kerana itulah, Rohana cukup yakin dengan permintaan terhadap Astro B.yond dan B.yond PVR dengan adanya Piala Dunia nanti.
“Tahun ini merupakan tahun yang menarik untuk Astro dan kami akan sentiasa berusaha untuk membekalkan kandungan dan teknologi terbaik khusus buat pelanggan.
“Dari semasa ke semasa kami pasti akan menambah bilangan saluran demi pelanggan setia kami,” katanya lagi tentang tiga saluran baru yang akan mula beroperasi mulai 16 Jun ini.
Menyentuh tentang B.yond PVR, ia memberikan teknologi terbaik apabila pelanggannya mampu merakam sehingga dua program siaran langsung secara serentak.
Malah, mereka boleh mengundurkan dan memberhentikan seketika program sewaktu siaran langsung sekali gus memberikan pelanggan kawalan penuh terhadap televisyen mereka.
Menurut Henry pula, B.yond PVR memberikan kesenangan, keselesaan dan kebebasan kepada pelanggan seandainya mereka ‘diganggu’ ketika sedang asyik dan leka menonton rancangan kegemaran mereka.
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar ISMAIL KAMADIN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan